Searching...

Popular Posts

Thursday

SYEIKH MAHMUD NASRI OTHMANI

9:05:00 pm
SYEIKH MAHMUD NASRI OTHMANI

Tuan Guru Hj. Mahmud Nasri Othmani

Nama lahir Mahmud ialah Syeikh Mahmud Nasri Othmani bin Haji Othman bin Haji Senik bin Haji Wan Hashim bin Haji Wan Abdul Wahab. Datuknya Allahyarham Assyahid Tok Nik Had, keturunan Tok Mekong Awang Hitam. Tok Mekong ialah hulubalang Melayu yang syahid dipancung oleh tentera kufar Siam ketika sedang bersolat di pinggir medan perang mempertahankan negeri dan Kerajaan Fathani Darus Salam pada 1730.
Keturunan Mahmud di sebelah ibunya Haji Mahmud Nasri bin Hajjah Kamaliah binti Haji Saman bin Haji Abdul Samad (Tok Fakeh) bin Hashim bin Wan Abdul Wahab. Mengikut cerita Mahmud, beliau ialah cicit kepada almarhum penghulu kampung Bera Fathani. Namun Wan Hashim itu anak kepada Tok Mekong yang berpindah ke negeri Kelantan ketika kejatuhan kerajaan Islam Fathani Darus Salam kepada penjajahan Siam.
Bapanya, Haji Othman, dilahirkan di kampung Kuala Lengkung, kawasan bendang pendalaman kampung belimbing di dalam jajahan Pasir Mas. Haji Othman dibesarkan dan dididikkan oleh datuknya dengan pelajaran agama dan kemudiannya belajar di pondok. Setelah dewasa, beliau dibawa oleh datuknya ke negeri Kedah dan dinikahkan dengan Hajjah Kamaliah (ibu Mahmud) bagi merapatkan semula pertalian keluarga keturunannya. Pernikahan itu dikurniakan seramai 10 anak yang bernama Ismail, Mahmud Nasri, Saat, Ahmad, Aisyah, Salmah, Cik, Zainab, Rokiah, dan seorang lagi bernama Huduh.

Dilahirkan di Kampung Alor Besar, Kota Sarang Semut, Kedah pada malam Rabu, 24 Safar 1316 Hijrah bersamaan 14 Julai 1898 Masihi, Mahmud dibesarkan dengan pendidikan agama sejak kecil lagi kerana kedua-dua ibu bapanya mempunyai pendidikan agama yang kuat. Selepas khatam al-Quran ketika berusia 7 tahun, beliau diserahkan kepada Pak Ngah Idris, guru al-Quran yang berasal dari Pattani, untuk mendalami pendidikan agamanya. Pak Ngah Idris itu datang bermukim di Kedah selama lima tahun. Kebetulan ketika itu, pengajian Islam merupakan pendidikan yang utama bagi orang Melayu di Tanah Melayu dan ramai anak-anak watan telah berjaya menuntut ilmu ke Makkatul Mukarramah.
Setelah khatam pengajian asas dengan guru Pak Ngah Idris, Mahmud mengadap gurunya yang kedua di pondok Gajah Mati Tuan Guru Haji Ismail @ Tok Chik Dol di daerah Pendang, Kedah ketika berusia 12 tahun. Selepas menetap belajar di Gajah Mati selama 3 tahun, beliau berpindah ke Sik, Kedah ke pondok Tuan Guru Haji Yaakob Kemelong, seorang ulama yang termashyur pada zaman itu. Mahmud berpondok di Sik sehingga berusia 18 tahun, apabila beliau berhijrah ke negeri Kelantan untuk diasuh oleh Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Abdul Halim. Beliau belajar daripada Syeikh Wan Ahmad selama lapan tahun, lima tahun di Padang Jelapang dan tiga tahun di pondok Pasir Mas Salor.

Sepanjang belajar di pondok Pasir Mas Salor, Mahmud sentiasa mengambil peluang mengikuti kuliah Tuan Guru Syeikh Yusuf Kenali secara berulang alik. Beliau sangat suka mendekati Tok Kenali dengan apa cara sekalipun, mengambil faham dengannya apa-apa yang guru-guru tidak menyampaikan di dalam bentuk kuliah umum. Mahmud juga selalu dijemput oleh Tok Kenali ke rumah untuk mengurut badannya. Bermula dari sini, beliau diberitahu oleh Tok Kenali mengenai rahsia ketuhanan yang dikenali dengan nama ilmu syatar yang dikurniakan oleh Allah Taala dan yang melayakkan manusia menjadi Khalifah sekiranya dikehendaki. Ilmu ini membezakan dengan ilmu nubuwwah dan ilmu risalah, kerana ilmu nubuwwah itu Allah Taala kurniakan kepada mereka yang berada pada pangkat nabi-nabi sahaja. Begitu juga, ilmu risalah Allah Taala kurniakan kepada manusia yang berada pada pangkat Rasul Alaihimussolati Wassalam sahaja.
Selepas menguasai ilmu syatar, Tok Kenali menganugerahi Mahmud dengan ijazah amalan Khalifah Pusaka Wali Agama Islam.Seterusnya, Tok Kenali menyuruh beliau mengambil:
  • langkahan jabat 14, jabat penimbul, jabat besi, dan langkahan hulubalang daripada Tuan Guru Muhamad Taib bin Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jabat;
  • latihan aurad Muhamadiyah daripada Tuan Guru Abdul Rahman Fathani di Kota Bharu; dan
  • segala latihan ilmu zahir, rohani, dan segala kitab daripada Syeikh Wan Ahmad bin Haji Wan Abdul Halim (Tok Padang Jelapang).
Setelah mengadap guru-gurunya yang tersebut, Mahmud bertemu semula dengan gurunya, Tok Kenali. Tok Kenali menyuruh beliau mengulangi latihan ilmu rahsia, dan petua hikmah hulubalang Khalifah daripada guru Sheikh Mohd Taib bin Haji Abdul Rahman Jabat. Latihan itu bertujuan menjaga keselamatan kesucian maruah agama diri, keturunan, harta benda, dan tanah air. Sheikh Mohd Taib guru agama yang termasyhur ketika itu, serta juga ulama dan guru silat yang dinamai Seni Silat Khalifah. Silat itu tidak terikat kepada satu susunan langkahan, tarian, dan buah. Pada masa itu, tiada sesiapa yang dapat menandingi Sheikh Mohd Taib. Banyak perkara mencarik adap berlaku ke atas diri Sheikh Mohd Taib, antaranya terbentuk sekumpulan awan hitam sentiasa memayungi beliau pada waktu cerah setiap kali beliau berjalan. Dengan latihan itulah, Mahmud kemudian memperkenalkan pula silatnya dengan nama Gerak Seni Silat Abjad.

Syeikh Mahmud Nasri yang diperkenalkan dengan nama Lebai Salam itu berkhidmat di Madrasah Manabil Ulum Penanti Bukit Mertajam lebih kurang 1 tahun, Setelah itu Tuan Guru Haji Muthalib pulang mengambil tugasnya seperti mana pesanan ayahandanya. Selepas itu Syeikh Mahmud Nasri dijemput pula oleh saudara sepupunya Tuan Imam Haji Yusuf Haji Ibrahim, Imam masjid Lenggong Perak pergi ketempatnya diatas hasrat menyebarkan ilmu pengetahuan Islam disana, Ketika itu beliau tiada keberatan menerima undangan tersebut dan tiada beberapa lama selepas itu beliau berhijrah ke Lenggong Perak Darul Ridzuan.

Berhijrah ke Lenggong Perak

Menurut cerita, beliau berhijrah dan bermukim di Lenggong Perak selama lebih kurang 2 tahun. Beliau mengajar ilmu tauhid, fekah, tasauf, dimasjid dan surau yang terdekat dibeberapa tempat di daerah itu, semasa bermukim diLenggong beliau berkahwin dengan anak saudara sepupunya (Tuan Imam Haji Yusuf). Isterinya bernama Azizah dan pada ketika itu beliau berusia 31 tahun. Isterinya guru Al-Quran dan Fardhu Ain. Beliau belajar Al-Quran dan ilmu Fardhu ain dan lain-lain ilmu agama daripada ayahandanya sendiri dan bapa saudara iaitu Haji Ahmad atau dikenali juga dengan panggilan Pak Chu Mat Kelantan. Bapa saudaranya iaitu Pak Chu Mat Kelantan pula belajar Al-Quran dan kitab-kitab agama kepada Tuan Guru Haji Abdullah Senik di pondok Padang Pasir Mas Kelantan dan kemudian berhijrah ke Lenggong bersama isterinya dan menetap terus di Perak. Bapa mertuanya iaitu Haji Yusuf juga seorang guru agama dan sebelum itu pernah belajar agama di pondok Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik Bin Haji Hasan semasa beliau menetap di Kelantan iaitu sebelum beliau berhijrah ke Perak Darul Ridzuan.Menurut cerita sejarah daripada mertuanya (Haji Yusuf), beliau berhijrah dan menetap di Lenggong selepas pembukaan daerah hulu Perak, Kelantan dan Pahang yang dilakukan oleh Tuan Guru Sheikh Abdul Raahman Jabat ayahanda kepada Tuan Guru Sheikh Mohd Taib. Ini disebabkan kerana daerah hulu Perak, Kelantan dan Pahang pada ketika itu adalah kawasan bahaya bagi orang Fathani Kelantan Jawa dan Sumatera kerana daerah ini dikuasai oleh raja berempat iaitu raja bagi kaum orang-orang asli yang berpusat di Lojing yang mana sesiapa sahaja yang memasuki kawasan dan daerah itu akan diganggu oleh binatang-binatang buas yang dipuja oleh mereka. Setelah Sheikh Abdul Rahman Jabat membuka kawasan dan daerah itu maka daerah itu menjadi selamat, kisah ini meninggalkan kesan sejarah di hulu Perak, Kelantan dan Pahang dengan lambang Gajah Putih iaitu tunggangan Tengku Abdul Rahman Tok Tama atau Sheikh Abdul Rahman Jabat.
Tiada berapa lama selepas perkahwinan beliau dan beliau merasai hasratnya dan amanah gurunya belum dilaksanakan, maka Sheikh Mahmud Nasri pun mengambil keputusan untuk berhijrah ke negeri Kedah semula untuk menunaikan hasratnya dan amanah gurunya. Maka pada awal tahun 1932 masihi beliau berhijrah ke negeri Kedah dan berhasrat membuka pondok sendiri dan kawasan yang ditujui oleh beliau ialah sebuah rimba yang baru diterokai oleh penduduknya yang mana mereka tidak mempunyai guru yang boleh mengajar mereka tentang ilmu-ilmu agama.

Membuka Madrasah Misbahus Salam

Pada 12 rabi’ul awal 1351 H bersamaan 15 Ogos1932 M beliau berhijrah ke Kampung Lanai daerah Baling dalam negeri Kedah Darul Aman, Lanai pada ketika itu adalah merupakan sebuah kawasan yang masih baru yang mana ia meliputi hutan dan rimba yang belum diterokai dan hanya didiami oleh beberapa buah rumah keluarga sahaja Di kawasan inilah pada pendapatnya seperti yang disifatkan oleh gurunya (Sheikh Muhammad Yusuf Al-Kenali) untuknya menetap dan membuka pondok.Penduduk Lanai pada ketika itu mengerjakan sembahyang Jumaat di sebuah masjid di Kampung Padang yang mana jaraknya daripada Lanai lebih kurang 15 kilometer dengan berjalan kaki. Beliau merasai amat sesuai untuknya menetap di kampung Lanai lalu bersetuju bersama beberapa orang penduduk setempat berusaha mendirikan sebuah madrasah untuk digunakan sebagai tempat solat di samping belajar agama dan memberi nama madrasah tersebut dengan nama Madrasah Misbahus Salam.
Selepas pembukaan Madrasah Misbahus Salam itu, Lanai dan kawasan yang berhampiran dengannya menjadi terkenal. Maka ramailah masyarakat luar yang datang berhijrah ke Lanai untuk menuntut ilmu pengetahuan di pondok tersebut yang mana gurunya adalah murid kepada ‘ulama yang terkenal di asia tenggara iaitu Sheikh Muhammad Yusuf Kenali Al-Kelantani.
Sebelum itu Lanai adalah sarang segala khazanah yang akhirnya menjadi kota ilmu pengetahuan agama Islam. Maka masyhurlah di dalam negeri Kedah nama Lanai disebabkan adanya Pondok Lanai dan semakin bertambah masyarakat yang datang serta menetap di Lanai terutamanya di Pondok Lanai.Apabila masyarakat Lanai menjadi semakin banyak, maka pada tahun 1938 M, Madrasah Misbahus Salam serta tapaknya itu sekali menjadi kawasan masjid dan tanah perkuburan qariah Lanai dan Madrasah Misbahus Salam berpindah ke kampung Caruk Salang kira-kira 3 kilometer dari Pondok Lanai yang asal.
Boleh dikatakan hampir kesemua pelajar yang tinggal menetap di Pondok Lanai turut berhijrah bersama guru mereka (Sheikh Mahmud Nasri) ke pondok barunya di Caruk Salang. Selepas itu pada tahun 1940 M di negeri Kedah berlaku darurat yang mana penaklukan tentera Jepun keatas Tanah Melayu. Selepas itu pergerakan Komunis memerintah menyebabkan berlakunya peperangan, kecurian rompakan, samun di sana sini, kekurangan mendapat bekalan makanan, ubat-ubatan, pakaian, perusahaan pertanian dimusnahkan dan sebagainya menyebabkan pelajar-pelajar di pondok tersebut terpaksa meninggalkan tempat pengajian mereka atas dasar keselamatan disamping mencari bekalan makanan dan tidak kurang juga hampir separuh daripada pelajar-pelajar tersebut yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Selepas penyerahan tentera Jepun, datang pula tentera Komunis dengan tujuan yang sama seperti tentera Jepun.Dan pada masa itu beliau (Sheikh Mahmud Nasri) menumpukan perhatiannya kepada usaha memulihkan semula keamanan negara manakala di bidang pertanian, beliau mengusahakan sawah padi di kawasan Sungai Tembak sebagai sumber makanan hariannya.
Dalam memulihkan semula keamanan negara, beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Tuan Guru Haji Yahya Taha Kampung Pisang, Kupang Baling, Kedah.Satu kisah yang berlaku semasa darurat di zaman Komunis bilamana Pegawai Daerah Baling iaitu Tuan Syed Abu Bakar telah ditangkap oleh tentera Komunis dan dibawa ke kem Komunis di kampung Dalam Wang Bawah Gunung,Baling dan diikat seluruh badannya, tentera Komunis menggali sebuah lubang kubur untuk menanam Syed Abu Bakar hidup-hidup, ketika itu kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Sultan Badlishah memohon pertolongan Tuan Guru Haji Yahya Taha untuk menyelamatkan Syed Abu Bakar.Tuan Guru Haji Yahya Taha segera menubuhkan satu pasukan penyelamat yang mana menurut cerita seramai 125 orang dan diketuai oleh Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani, Tuan Haji Daud Bongor, Tuan Haji Ahmad Bok Bak dan lain-lain lagi berangkat dengan misi menyelamatkan Syed Abu Bakar. Mengikut cerita Komunis, daripada sejumlah 125 orang penyelamat yang menyertai misi tersebut, hanya tiga orang sahaja yang berjaya sampai menyelamat Syed Abu Bakar dan dianggarkan seramai 600 orang Komunis dengan diketuai oleh Cheng Peng dan beberapa orang Melayu.Tentera Komunis hanya menyedari akan kedatangan pasukan penyelamat tersebut apabila tali yang diikat oleh tentera Komunis pada badan Syed Abu Bakar telah dibuka, pada ketika itu mereka sedang mengepung.Dalam keadaan yang demikian itu, pasukan penyelamat tersebut telah memohon kepada Cheng Peng untuk membawa keluar Syed Abu Bakar daripada tempat tersebut dan Cheng Peng telah mengizinkan mereka untuk beredar.Keadaan bertukar menjadi sebaliknya selepas pasukan penyelamat beredar dari tempat tersebut kira-kira 40 meter bilamana Cheng Peng telah mengarahkan tenteranya menembak pasukan penyelamat tersebut.Selama hampir 30 minit berlakunya kejadian tembak menembak, akhirnya pasukan penyelamat tersebut dapat menyelamatkan diri bersama dengan Syed Abu Bakar dan pasukan penyelamat berjaya membawa keluar Syed Abu Bakar kemudian menyerah kepada pasukan kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Badlishah yang bersama Tuan Guru Haji Yahya Taha yang sedang menunggu di Kampung Caruk Bembam,Kupang. Tempat penyerahan tersebut sekarang ini telah dibina sebuah sekolah menengah dan dikenali dengan nama Sekolah Menengah Syed Abu Bakar Baling. Tidak lama kemudian tentera Komunis telah menyerah kalah, tentera British menguasai semula dan akhirnya keamanan Tanah Melayu telah kembali pulih seperti biasa.

Pembukaan Madarasah Misbahul Falah

Madrasah Misbahul Falah telah ditubuhkan pada tahun 1957 setelah terjadinya kesepakatan diantara Tuan Haji Abu Bakar iaitu bapa mertua kepada Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih dan penduduk tempatan serta kerjasama daripada Tuan Guru heikh Mahmud Nasri Osmani.
Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih adalah anak kelahiran Kelantan yang berasal dari daerah Pengkalan Chepa Kota Bharu.Beliau adalah merupakan anak murid kepada Tuan Guru Haji Yahya Taha Kampung Pisang kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkatul Mukarramah dan berguru kepada beberapa orang tuan guru disana seperti Tuan Guru Sheikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir (Pak Da’el), Sheikh Mukhtar Abdul Malik Kudri Al-Makki, Sheikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Mandili dan Sheikh Muhammad Daud Sulaiman Al-Kelantani Al-Makki.
Sekembalinya beliau dari Makkatul Mukarramah bersama isteri dan anak-anaknya dan beliau telah selesai menuntut ilmu pengetahuan serta berbekalkan dengan keazaman yang kuat beliau berhasrat pula untuk membuka sebuah pusat pengajian bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama islam kepada anak bangsanya.Atas kehendak ayahandanya, Tuan Guru Sheikh Omar Zuhdi mengambil keputusan menetap di Banggol Berangan Lanai, Kupang Kedah serta membuka pondok pengajian diatas nama Madrasah Misbahul Falah.
Menurut perancangan awal, pembukaan Madrasah Misbahul Falah akan dirasmikan oleh kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sultan Badlishah pada tahun 1957. Setelah hari keberangkatan baginda sultan Kedah ditetapkan dan segala persiapan telah diatur termasuklah majlis kenduri dan sebagainya, datang satu berita yang mengatakan bahawa baginda sultan Kedah telah mangkat. Pihak pengurusan Madrasah mengadakan acara tahlil sempena kemangkatan sultan Kedah dan Madrasah Misbahul Falah tersebut dirasmikan sendiri oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Solih.
Madrasah Misbahul Falah terus berkembang mengikut manhaj yang telah disediakan oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi sendiri, mengikut system pengajian Nizhomi dan Umumi.Sistem pengajian nizhomi adalah system pengajian kelas bermula tahun I’dadi hingga ke thanawi dan sistem pengajian umumi adalah pengajian kitab-kitab torah dari kulit ke kulit.Sistem pengajian nizhomi dan umumi mendapat sambutan yang sangat baik dikalangan masyarakat yang dahaga ilmu pengetahuan agama serta dapat berjalan sehingga sekarang ini. Tuan Guru Sheikh Mahmud Nasri Osmani pula mendirikan sebuah madrasah mengekalkan nama madrasah Misbahus Salam di rumahnya berhampiran dengan madrasah tersebut.Beliau membantu mengajar kitab-kitab torah secara umumi kepada mana pelajar yang berada di madrasah Misbahul Falah yang gemar menuntuti ilmu kepadanya.SYEIKH Mahmud  meninggal dunia pada 28 Safar 1400H ketika berusia 81 tahun.

tag: abjad malaysia,abjad perak tengah,abjad ipoh,abjad sabah,abjad kedah utara,abjad kedah selatan,abjadpenang,abjad perak utara,abjad seri iskandar,abjad selangor,abjad wilayah persekutuan,abjad negeri sembilan,abjad johor,abjad melaka,abjad terengganu,abjad pahang barat,abjad pahang timur,abjad sarawak,abjad panching:tag

0 comments: