Searching...

Popular Posts

Thursday

1_ MALAYSIA!!!

4:22:00 pm


1Malaysia

1. PENGENALAN

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.


1 Malaysia adalah pemangkin kepada mengujudkan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

2. DEFINISI

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
2.1 HuraianBerdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :
2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.
Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membatas tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.
Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.
2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA

Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:
3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.
3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.

4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.
Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6. MATLAMAT

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:
1. Budaya kecemerlangan2. Ketabahan3. Rendah hati4. Penerimaan5. Kesetiaan6. Meritokrasi7. Pendidikan8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.
7.2. KETABAHAN
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.
7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.
7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.
7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.
7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya
7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan
7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
7.3 RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.
7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.
7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.
7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.
7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.
7.4. PENERIMAAN
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.
7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.
7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.
7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.
7.5 KESETIAAN
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan.
7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.
7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.
7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.
7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.
7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.
7.5.10 Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.
7.6 MERITOKRASI
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.
7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baikatau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut.
7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.
7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.
7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.
7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.


7.7 PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.
7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.
7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.
7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.
7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.
7.8 INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.
7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.
7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.
7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.
7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8. KESIMPULAN

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.


DARI MEJA PM

Bahagian 1: Budaya Kecemerlangan
Sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, saya dapati reaksi bersemangat dari pihak awam mengenai konsep 1 Malaysia amat menggalakkan. Sambil kita terus bergiat dan menggandakan usaha untuk memperbaiki segala tindakan dan proses dalam kerajaan, perlu saya tekankan satu lagi ciri utama dalam memastikan kejayaan kita iaitu nilai-nilai yang perlu diterap bagi melengkapkan usaha-usaha tersebut. Memang benar, tindakan itu lebih dalam kesannya dari kata-kata sahaja.
Saya telah mengenal pasti sebanyak lapan nilai yang tidak saling eksklusif yang saya percaya adalah penting untuk kita semua. Diharap anda semua terus mengunjungi lawan web peribadi saya di mana saya akan memperkenalkan setiap nilai secara berperingkat sepanjang bulan ini. Semoga nilai-nilai ini dalam dipupuk dalam jiwa kita semua. Sila terus berkongsi pandangan dan kritikan membina anda; inilah tanda yang jelas bahawa momentum dialog kita sedang meningkat.
BUDAYA KECEMERLANGAN
Saya benar-benar percaya bahawa demi mengubah Malaysia dan membawa Malaysia ke tahap kejayaan dan pencapaian yang lebih tinggi, satu nilai yang melengkungi nilai-nilai lain yang akan memastikan Malaysia menuju trajektori yang betul ialah untuk kita menanamkan Budaya Kecemerlangan. Ini kerana jika anda mempunyai satu set nilai-nilai yang menandakan anda mempraktikkan Budaya Kecemerlangan, segalanya akan berkembang dan beralir dari Budaya tersebut.
Secara dasar, ianya satu usaha berterusan. Namun anda perlu menjanakan perkara-perkara yang akan mendorong orang ramai untuk menyedari betapa pentingnya Budaya Kecemerlangan. Sebagai contoh, dengan memperkenalkan dengan lebih banyak prinsip meritokrasi. Dari situ, anda akan menegaskan kepentingan prestasi, dan prestasi itu banyak berpaut kepada Budaya Kecemerlangan.
Berkenaan aspek-aspek Budaya Kecemerlangan
Saya rasakan kita perlu mengenal pasti subset-subset yang berkaitan dengan Budaya Kecemerlangan. Sebagai contoh, bagi dikenali sebagai sebuah masyarakat yang percaya kepada prinsip ketepatan. Ianya satu subset Budaya Kecemerlangan. Dalam erti kata lain, anda mementingkan ketepatan. Ketepatan dari segi pengukuran, dari segi menguruskan masa, dari segi jadual penyampaian, dari segi kualiti. Jika Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang menekankan kualiti dan kecemerlangan, maka setiap produk yang datang dari Malaysia, setiap perkhidmatan yang berasal dari Malaysia akan dilihat seperti mempunyai kualiti dan nilai cemerlang yang diinginkan oleh dunia.
Saya harap dapat memberi penekanan kepada kepimpinan berasaskan prestasi. Dalam erti kata lain, jika anda mahu mengubah Malaysia, perubahan mestilah berteraskan kepimpinan yang berasaskan prestasi. Ini bermakna anda mempunyai matlamat-matlamat khusus, dan prestasi anda boleh diukur. Anda boleh mengawas, anda boleh memantau, anda boleh mengambil tindakan pembetulan. Anda boleh juga membuat sebarang perubahan jika perlu. Tetapi ianya penting untuk kita merasakan bahawa kita sedang mengalami kemajuan, bahawa kita semakin maju.
Maksud saya, pengertian waktu, ‘waktu Malaysia’, yang sering dijadikan bahan jenaka orang ramai. Tentang menjaga masa, ketepatan masa dalam apa jua yang anda lakukan. Saya rasa ianya satu perkara yang boleh difahami semua orang dan dilihat dalam gaya hidup semua rakyat Malaysia. Ini antara perkara-perkara yang kita boleh ketengahkan, meningkatkan kesedaran untuk merubah di mana perlu. Dan dari segi cara untuk membatinkan perubahan ini, contohnya, pernyataan seperti ‘lebih kurang’ – ia sepatutnya tidak wujud lagi dalam leksikon perkataan-perkataan yang kita guna pakai seharian. Kita perlu lebih tepat dalam setiap perbuatan, pertuturan, dalam apa sahaja yang ingin dicapai.
Tentang mempelajari Budaya Kecemerlangan
Arwah ayahanda saya seorang ahli motivasi, biarpun saya tidak menyedari hakikat itu pada awalnya. Tetapi secara halus, beliau menerapkan dalam jiwa kami satu keinginan untuk berjaya dan menjadi yang terbaik di kalangan rakan seperjuangan, contohnya di dalam bilik darjah. Arwah mendirikan satu skim ganjaran, sejumlah wang yang kecil. Jumlahnya tidak lumayan, hanya sedikit wang yang akan dihadiahkan jika kami berjaya menduduki tempat pertama di dalam mana-mana ujian atau peperiksaan. Ianya bukan tentang ganjaran wang, tetapi jelas kegembiraan yang beliau rasai bila anda menjadi pelajar terbaik di dalam kelas, dan kekecewaan di riak wajahnya jika anda tidak berjaya. Itulah titik tolak dalam hidup saya untuk menyedari betapa pentingnya untuk berjaya dan berusaha dengan gigih dalam segala perbuatan.

Bahagian 2: Ketabahan
Saya percaya bahawa nilai utama 1 Malaysia yang seterusnya merupakan tulang belakang bagi semua negara yang pernah berjaya mengatasi zaman-zaman yang mencabar dalam sejarah mereka. Maka, pengertian nilai ketabahan sebagai satu nilai yang wajib dipupuk dan dibentuk oleh setiap rakyat Malaysia itu sangat dalam, terutamanya dalam tempoh waktu ini.

KETABAHAN

Kehidupan bukan semuanya mudah. Sebarang tanggapan bahawa kehidupan adalah lakaran lurus yang sentiasa mendaki tanpa penghujungnya pada saya adalah suatu salah anggapan. Seseorang itu hendaklah menerima kehidupan sebagai satu siri naik dan turun. Tetapi jika anda adalah seorang yang percaya kepada kerja keras, sepenuhnya berdedikasi, dan jika anda tabah menghadapi segala dugaan, maka apabila anda berhadapan dengan sebarang rintangan, semestinya anda akan berupaya mengharungi rintangan yang dihadapi dan berupaya meletakkan diri anda ke pangkal jalan, anda perlu menghargai dan memahami bahawa ada masa-masanya kesukaran perlu dihadapi. Begitu jugalah Malaysia sebagai sebuah negara, kita telah berhadapan dengan berbagai krisis sebelum ini, sama ada krisis kewangan, menentang komunis atau berhadapan dengan waktu-waktu bergolak di dalam sejarah kita. Namun pada setiap keadaan kita telah berjaya mengharungi krisis tersebut dan menjadi lebih kuat sebagai sebuah negara. Tetapi semua itu telah dicapai kerana kita telah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada permasalahan tersebut. Kita telah bekerja dengan gigih dan sentiasa menghadapi rintangan dengan ketabahan dan akhirnya membuktikan bahawa para pewaham kita adalah salah.
Tentang ketabahan mengharungi perubahan peribadi
Di sepanjang kehidupan saya, saya sentiasa perlu berusaha lebih daripada biasa demi membuktikan kemampuan diri kerana saya tidak mahu orang lain memandang kepada saya dan berkata "dia berada di situ kerana nama, atau nama keluarganya melonjakkannya ke situ". Benar, saya memiliki kelebihan tersebut, namun pada masa yang sama ia seakan satu bebanan kerana anda perlu sentiasa membuktikan bahawa anda wajar mendapat semua itu. Malah saya sentiasa menyedari bahawa saya perlu menunjukkan saya mampu melakukannya, dan melakukannya dengan baik. Dan dalam hal kekecewaan peribadi, rasa saya yang paling memilukan dalam ingatan adalah kekecewaan politik yang saya alami di kawasan saya sendiri pada 1999, apabila saya menang tipis dengan majoriti yang sangat kecil iaitu 241.
Pada masa itu, ramai yang berkata tidak lama lagi saya akan menjadi sejarah, dan lebih daripada itu sebahagian daripada mereka mencadangkan supaya saya bertukar kawasan. Tetapi saya kekal berpendirian teguh dan menyatakan pada diri sendiri walau apa sekali pun saya akan terus berjuang. Jika saya perlu jatuh rebah, saya akan rebah dalam perjuangan. Dan saya menyatakan pada diri sendiri saya boleh membuktikan bahawa para pewaham adalah silap dan nah, lihatlah, dalam jangka masa 4 tahun, majoriti yang kecil, majoriti tipis 241 telah dijelmakan kepada majoriti besar berjumlah 22,922 dan sebagaimana yang anda ketahui, pada Pilihan Raya Umum yang lepas saya mencapai kejayaan terbaik dari segi majoriti BN untuk sebarang kawasan pemilihan Parlimen apabila saya berjaya meraih 26,464. Itulah saiz majoriti yang saya peroleh. Tetapi saya tidak fikir mampu mendapat majoriti sebegitu besar jika tidak kerana kekecewaan pada 1999. Apabila mengalami kekecewaan tersebut, saya menyedari perlunya melakukan lebih lagi. Saya perlu menjadi lebih kreatif serta perlu membawa pendekatan yang berbeza, dan semua itu telah menghasilkan perubahan dan peningkatan tersebut, peningkatan besar yang menakjubkan.

Bahagian 3: Rendah Hati
RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam konteks – contohnya katakanlah jika anda seorang ahli politik. Begitu juga jika anda seorang ahli parlimen. Bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat tradisional, mereka cenderung menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri. Dalam Islam, ia adalah konsep Tawaddu`, yakni rendah hati. Sebagaimana yang anda ketahui di dalam masyarakat Melayu, seseorang itu tidak boleh menunjuk-nunjuk. Contohnya, apabila anda keluar melakukan tugas sebagai seorang ahli parlimen, anda mestilah boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat. Saya sangat menyedari akan keadaan bahawa apabila saya melakukan tugas saya sebagai ahli parlimen, saya sangat selesa dengan keadaan tersebut. Sebagai contoh, jika saya berada di dalam surau atau pergi ke rumah penduduk miskin di dalam kawasan saya, saya memastikan tingkah laku saya tidak akan membuatkan mereka berasa tidak selesa, dan pemergian saya ke sana bukanlah bertujuan memandang rendah atau bersikap menghina mereka.
Maka itu pada saya ia adalah satu aset. Namun begitu, bersikap rendah diri bukanlah sebagai satu petanda kelemahan. Dalam masyarakat tertentu, ia cenderung disalah ertikan sebagai satu petanda kelemahan. Apabila berurusan dengan orang luar contohnya, ada kalanya anda perlu menunjukkan kekuatan anda. Anda perlu memperlihatkan keyakinan kerana apabila anda dilihat sebagai rendah diri pada sudut pandangan mereka, ia dianggap sebagai satu petanda kelemahan. Maka itu saya merasakan ia juga adalah mengikut keadaan, anda mesti sedar bahawa dalam lingkungan masyarakat Malaysia, ia adalah satu aset, tetapi ada waktunya apabila anda berurusan dengan dunia luar anda perlu memperlihatkan kekuatan dan kejayaan anda, tetapi bukanlah dengan cara penindasan.

Bahagian 4: Penerimaan
PENERIMAAN

Tentang kepentingan penerimaan berbanding toleransi
Saya rasa terdapat perbezaan yang agak ketara di antara keduanya (toleransi dan penerimaan). Apabila anda menyebut toleransi, anda tidak berapa sukakannya, tetapi tetap menerimanya kerana anda tiada pilihan. Tetapi jika anda bercakap dari segi penerimaan, ia memperlihatkan keadaan pemikiran bahawa anda menerima sepenuhnya sesuatu itu secara positif. Pada saya adalah penting bagi kita untuk beralih dari konsep toleransi semata-mata ini kepada penerimaan. Penerimaan dari segi anda bersedia untuk menerima sebarang perkara. Jika anda sanggup menerima sebarang perkara, anda mengambil perkara tersebut dengan kerelaan, maka saya rasa kapasiti anda untuk melihat kepada semua perkara secara lebih positif adalah lebih baik berbanding toleransi semata-mata.
Pada saya itu adalah penting kerana selepas itu anda tidak lagi merasa terbeban dan anda tidak dipengaruhi oleh sebarang tanggapan melulu yang negatif dan mahu pula melihat kepada kemampuan terbaik yang boleh diberikan oleh seseorang itu. Inilah yang kita perlukan untuk Malaysia. Kita perlu mendapatkan yang terbaik daripada bangsa Melayu, terbaik daripada bangsa Cina, bangsa India, semua kaum lain dan mengadun semua ini agar secara terkumpulnya kita akan menjadi jauh lebih besar berbanding bilangan kelompok kaum secara individu.
Tentang peranan kerajaan dalam memupuk penerimaan
Saya rasa kita perlu memulakan polisi yang kelihatan adil dan dilaksanakan dengan cara yang mencerminkan komitmen kita. Sebagai contoh, apabila kita bercakap tentang membantu mereka yang miskin, kita mesti membantu mereka yang miskin dalam semua golongan masyarakat. Dan pada saya golongan miskin dalam semua golongan masyarakat wajar dibantu. Maka semua program dan peruntukan kewangan kita wajib mencerminkan keperluan untuk mengatasi masalah golongan miskin merentasi semua lapisan etnik dan kaum. Itu adalah sebagai satu contoh polisi di peringkat tersebut. Terdapat juga pertimbangan lain, contohnya membangunkan bakat di Malaysia. Pada saya setiap rakyat Malaysia sepatutnya berupaya untuk memenuhi sepenuhnya dari segi pembangunan diri mereka tanpa mengira jantina. Sistem sedia ada kita, sistem pendidikan, biasiswa, bantuan kewangan, semua peluang tersebut hendaklah mencerminkan semua ini, bahawa tidak terdapat sebarang had. Had tidak ditentukan kerana latar belakang etnik anda. Had ditentukan adalah kerana keupayaan peribadi anda sendiri.
Bahagian 5: Kesetiaan
Saya percaya bahawa kesetiaan merupakan satu nilai penting yang sering disalahtafsirkan dan disalahgunakan. Untuk mengetahui pandangan saya tentang kesetiaan sebagai salah satu daripada 8 nilai utama 1 Malaysia, baca terjemahan transkrip di bawah.

KESETIAAN

Pada saya kesetiaan adalah penting kerana ia adalah asas kepada kepercayaan. Dalam sebarang perhubungan, kesetiaan adalah penting. Contohnya sebagai kawan, anda setia kepada kawan anda, kerana kesetiaan tersebut akan membina kepercayaan. Satu ikatan peribadi antara anda dengan seorang yang lain. Tetapi saya juga mentafsir kesetiaan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya keterlaluan sehingga menjadi kesetiaan membuta tuli. Pada saya di dalam perkhidmatan kerajaan, sebagai contoh, pentadbiran kerajaan, semestinya seseorang itu perlu setia kepada pemimpin.
Tetapi seseorang itu hendaklah setia selagi pemimpin itu juga setia, dalam erti kata perlakuan pemimpin tersebut, komitednya pemimpin kepada tugasnya dan berdedikasi. Kesetiaan juga tidak bermakna anda tidak boleh mengkritik, tetapi sudah tentu anda hendaklah mengkritik dengan cara yang betul, di tempat dan masa yang bertepatan. Saya sudah tentu akan menghargainya, sama ada ianya perhubungan peribadi atau dalam konteks rakan sejawat bahawa akan adanya peluang dan waktu untuk mereka memberikan pandangan yang membina contohnya, malah kritikan yang pada saya adalah diperlukan. Tetapi kesetiaan juga hendaklah disertai dengan keupayaan.
Anda tidak boleh memberikan ganjaran kepada seseorang itu hanya kerana dia setia, tetapi melupakan kenyataan bahawa kesetiaan tanpa kemajuan dan keupayaan adalah tidak mencukupi. Benar, kesetiaan adalah penting, tetapi ia perlu disertai dengan pertimbangan lain juga.
Ya, pada saya telah berlalunya hari-hari bila mana kesetiaan disalah anggap sebagai kepercayaan membuta tuli atau memiliki kuasa penuh dari segi perhubungan peribadi, yang mana anda boleh melakukan apa saja yang anda mahu dan tidak dipertanggungjawabkan. Pada saya itu adalah salah. Pada saya ia adalah merugikan dari segi perhubungan peribadi atau sama ada di dalam kerajaan bahawa tiadanya ruang untuk kritikan membina mahu pun pertentangan pendapat. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang betul dan dengan niat yang baik

Bahagian 6: Meritokrasi

MERITOKRASI

Pada dasarnya semua orang tahu makna perkataan ini dan prinsip meritokrasi, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam erti kata yang sebenar kerana ada masanya anda perlu mempertimbangkan faktor-faktor tertentu yang lain. Contohnya, mereka yang kekurangan, atau masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru yang berada di luar arus perdana masyarakat yang lebih dinamik. Sudah tentunya mereka ini memerlukan pertimbangan khas.
Namun pada dasarnya, meritokrasi bukan saja satu prinsip yang mulia, tetapi satu prinsip yang diperlukan untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan yang lebih hebat. Sejak awal lagi saya telah membincangkan tentang budaya kecemerlangan dan satu daripada prinsip budaya kecemerlangan adalah prinsip meritokrasi. Jika anda memberikan penghargaan berasaskan kerana mereka adalah terbaik, sama ada orang yang terbaik untuk tugasan tersebut atau syarikat terbaik untuk mendapatkan kontrak, maka semua pihak akan menyedari bahawa mereka perlu berada di tahap tersebut.
Mereka perlu memberikan yang terbaik. Pada saya setelah menyedari bahawa mereka perlu memberikan yang terbaik, maka semua itu akan menyerlahkan yang terbaik daripada semua orang. Maka itu kita tidak mahu Malaysia tidak memberikan sebaik mungkin sebagai sebuah negara. Melihat kepada Malaysia, menggunakan terma sukan tinju, saya mahu melepaskan tumbukan melebihi had kategori berat badannya. Jika anda menggunakan budaya kecemerlangan dan prinsip meritokrasi ini, pada saya ia akan menjadi adunan yang diperlukan untuk kita memaksimumkan potensi Malaysia.
Tentang langkah kerajaan ke arah meningkatkan meritokrasi
Ia memang bermakna bahawa kepelbagaian aspek perkhidmatan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya sewajarnya dibentuk berdasarkan meritokrasi. Sebagai contoh, pemerolehan kerajaan. Sewajarnya kita memperkenalkan satu polisi yang memastikan persaingan pembidaan kerana melalui persaingan pembidaan, peluang kita memilih syarikat terbaik untuk tugasan tersebut pada harga terendah dan pada masa yang sama mempunyai kemahiran yang diperakui adalah lebih besar berbanding pemilihan berasaskan tender perundingan, contohnya.
Prinsip penswastaan sekali pun, sebahagian daripada permasalahan yang dihadapi tentang asas penswastaan di masa lalu, ketika kita terlalu kurangnya pengetahuan tentang bagaimana untuk melaksanakan penswastaan, pada permulaannya kita telah menggunakan prinsip siapa dulu dia dapat. Makanya jika anda mempunyai gagasan anda akan diberi peluang tersebut.
Tetapi kenyataannya, memandang ke belakang adalah lebih baik untuk kita mengenal pasti perkhidmatan atau lapangan tertentu yang kita hendak swastakan dan membukanya untuk pembidaan. Seterusnya cadangan terbaik boleh dipertimbangkan oleh kerajaan. Jelaslah terdapat contoh-contoh khusus tentang bagaimana meritokrasi boleh digunakan.



tag: abjad malaysia,abjad perak tengah,abjad ipoh,abjad sabah,abjad kedah utara,abjad kedah selatan,abjadpenang,abjad perak utara,abjad seri iskandar,abjad selangor,abjad wilayah persekutuan,abjad negeri sembilan,abjad johor,abjad melaka,abjad terengganu,abjad pahang barat,abjad pahang timur,abjad sarawak,abjad panching:tag

Newer Post
Previous
This is the last post.

0 comments: